Borneo Empurau Farm & Resort jadi Tarikan Baharu di Serian

Disiarkan pada 14 Sep 2025
Sumber Berita: Suara Sarawak
Borneo Empurau Farm & Resort jadi tarikan baharu di Serian

SERIAN: Keterujaan jelas terpancar dalam kalangan ibu bapa membawa anak-anak berkunjung ke Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) ketika ini. Ia berikutan kewujudan Taman Burung di pusat percutian berkonsepkan agropelancongan serta ekopelancongan unik itu.
 

BEFR

 

Ketua Seksyen Pusat Haiwan merangkap Jurulatih Haiwan BEFR, Anissa Senah Dayang berkata, pihaknya percaya taman burung yang dibuka kepada umum semalam mampu mencetus suasana luar biasa kepada pengunjung.

“Pihak kami komited memastikan kepuasan berganda kepada pengunjung, terutama kanak-kanak yang datang ke BEFR.


BEFR
 

“Dengan adanya taman burung ini, ia secara tidak langsung memberi keceriaan kepada golongan sasar tersebut,” ujar Anissa kepada Suara Sarawak. Menurut Anissa, terdapat 20 jenis burung selain satu-satunya unggas berstatus mamalia di taman berkenaan. Tegasnya, burung yang terdapat di taman tersebut datang dari pelbagai negara termasuk kepulauan Borneo. “Ada burung dari negara China dan juga kepulauan Borneo terdapat di taman ini,” tambahnya. Beliau memberitahu, taman berkenaan dibuka setiap hari bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang “Seperti biasa, kehadiran pengunjung ke taman ini akan diberi penerangan oleh pegawai khas dari pusat berkenaan,” katanya.