SERIAN: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben menyerahkan sebanyak 81 buah tangki air kepada penduduk Kampung Krait Mawang, dalam satu majlis penyerahan rasmi yang berlangsung di kampung tersebut, pada Rabu.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada 214 buah tangki air yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak untuk kegunaan penduduk di lima kampung terpilih dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup.
Selain Kampung Krait Mawang, kampung lain yang bakal menerima tangki air tersebut ialah Kampung Sungai Engkabang A, Kampung Kranji Atas, Kampung Kranji Baroh, kawasan kediaman di Batu 48 hingga 53 Jalan Serian–Balai Ringin, serta Kampung Sungai Buru.
Menurut Datuk Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, penentuan penerima bantuan ini dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh dan survei yang dijalankan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Serian, dan disahkan oleh Pejabat Daerah Serian.
Beliau turut mengingatkan agar semua penerima menggunakan tangki air berkenaan sebagai sumber bekalan alternatif khususnya ketika gangguan bekalan air sering berlaku, terutamanya semasa musim perayaan seperti Hari Gawai dan Krismas.
“Saya ingin tegaskan, tangki ini bukan untuk disimpan di kebun, dijadikan perahu atau tempat membela ikan keli. Ini pernah terjadi sebelum ini dan ia amat merugikan, bukan sahaja kepada penerima, malah kepada kerajaan yang telah menyediakan peruntukan besar untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau turut menyeru pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memainkan peranan dengan melakukan pemantauan dan memastikan setiap tangki air yang disalurkan dipasang serta digunakan di rumah-rumah penerima.
Dalam lawatannya ke Kampung Krait, Datuk Martin turut berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Krait dan menyerahkan sumbangan perabot bernilai RM10,000 kepada pihak sekolah termasuk meluluskan permohonan kerja baik pulih astaka padang bola sepak sekolah tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Serian, Inting@Inting Nyami; Guru Besar SK Krait, Dora; serta Ahli Majlis Daerah Serian, Cr. Robin Kiek. -EDISI UKAS