206 peserta hadir program kepolisian komuniti peringkat Serian bagi DUN Bukit Semuja
Tarikh : 10 Sep 2020  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS
 

SERIAN: Seramai 206 orang peserta menghadiri Program Kepolisian Komuniti Peringkat Daerah Serian bagi kawasan DUN Bukit Semuja, semalam.

Program tersebut bertujuan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi pelbagai kemungkinan yang meliputi aspek keselamatan, kesihatan awam dan menangani gejala sosial.

Dalam ucapannya, ADUN Bukit Semuja, John Ilus menyeru agar semua pihak terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti PDRM, Kementerian Kesihatan, AADK dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Serian.

Beliau juga menyeru agar KKMK, Pengerusi JKKK, NGO menerapkan tagline 'Kita Jaga Kita' bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

"Marilah kita sama-sama menjaga Sarawak dan jangan membiarkan pihak luar mengganggu negeri ini.

"Teruslah berganding bahu, bekerjasama dengan pucuk pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari supaya terus memberi mandat dalam meneruskan usaha pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan negeri," katanya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng, Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis serta ketua-ketua jabatan lain.

Sebanyak 48 buah kampung dalam DUN Bukit Semuja terlibat dalam program sehari itu. -EDISI UKAS